At another part of Taman Negara, the Santuari Ikan Kelah Lubuk is where you can feed the protected Masheer fish with bread or specially-produced pallets

Sunday, October 08, 2006

Salong Villa

Salong Villa ia-lah nama sanjungan yang diberikan kepada Kampung Salong. Kampung ini terletak dalam Mukim Penyor, daerah Pekan, negeri Pahang Darulmakmur. Dihubungkan oleh sebatang jalanraya daripada Pekan menuju ke Temerloh melalui Paloh Hinai, Batu Balek, Kuala Mentiga, Sepaku, Sepagar, Mambang, Mempelas, Kampung Salong, terus ke Sungai Duri, Kampung Melayu, Terepai, Seberang Lubuk Paku, Pesagi, Chenor, Kampung Awah dan temerloh.

Dari era pembukaan hingga tahun 1970, ada lebih kurang 100 buah keluarga di kampung ini dengan jumlah penduduk kira-kira 500 orang. Kampung ini dikepalai oleh Tok Mukim. Orang yang menyandang jawatan ini yang dapat dikesan ia-lah Haji Zakaria bin Ismail. Selepas Haji Zakaria bersara, jawatan ini dipegang oleh anak saudaranya ia-itu Haji Hashim bin Haji Hitam. Selepas Haji Hashim bersara, tugas ini diambil alih oleh Yahya Sa'aya dan sekarang ini dipegang oleh Encik Pahang bin Awang Muhamad.
Banjir 1970
Pada hujung tahun 1970 satu bencana banjir yang besar dalam sejarah Pahang moden telah melanda hampir separuh daripada negeri Pahang, bermula dari Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh hingga ke Pekan. Kampung Salong yang sememangnya berada di pesisiran Sungai Pahang tidak terkecuali. Seluruh kampung ditenggelami air banjir menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah sementara ke pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kinchir yang terletak di Salong Hulu.

Sehubungan dengan bencana banjir itu kerajaan Negeri Pahang telah mengambil tindakan untuk memindahkan penduduk kampung sekitar Kampung Salong ini ke satu kawasan penempatan baru di seberang Sungai Pahang ia-itu di Sungai Lengkor atau sekarang ini dikenali sebagai Kampung Sri Makmur. Hampir 90 peratus penduduk daripada Kampung Salong, Sungai Duri, Rambai Sebunga, Belimbing dan Kampung Melayu berpindah ke Sungai Lengkor. Kampung baru Sungai Lengkor ini ditadbir oleh Felcra. Rumah dan ladang pertanian disediakan untuk setiap keluarga yang berpindah ke sini. Manakala baki penduduk yang tidak menyertai program banjir ini, berpindah pula ke rancangan tanah Felda.

Berikutan pemindahan itu, hanya tinggal tidak sampai sepuluh keluarga yang tinggal di Kampung Salong. Mereka itu terdiri daripada keluarga Haji Abdul Manaf bin Sulong, Haji Hashim bin Haji Hitam, Haji Said bin Sulong, Haji Harun bin Awang Kechik, Teh Dawi, Ab. Majid bin Sidek, Mat Lazim Kedai Runcit dan Seman Salong Hilir.

Sekitar tahun 1985, dibawah program kampung tersusun, sebuah kampung baru diwujudkan berhampiran Kampung Salong. Program ini dihoskan oleh Felcra juga dengan kerjasama Dara. Kampung baru ini dinamakan RKT Kampung Salong. Sehingga sekarang ini (2006) semua kemudahan asas seperti jalanraya, letrik, air dan perkhidmatan talipun ada dibekalkan. Jalanraya ini menghubungkan ke Pekan, Kuantan, Segamat, Temerloh dan Tasek Chini.

Kampung salong tidak berapa jauh dengan destinasi pelancongan yang penuh misteri dan terkenal dengan lagenda ia-itu Tasek Chini. Jaraknya kira-kira 15km dengan dihubung melalui dua jenis kenderaan. Satu melalui jalanraya biasa dan satu lagi melalui jalan sungai. Menyelusuri sungai menggunakan bot kecil amat mengasyikkan. Jika bernasib baik boleh juga memerhati spesis haiwan liar seperti monyet atau burung atau pun biawak besar. Di kiri dan kanan tebing Sungai Chini, pelawat dapat menikmati keindahan hutan tropika yang teduh dan menyedut udara yang segar.

Untuk mendapatkan bot bagi menyelusuri Sungai Chini ini, pelawat perlulah memandu hingga ke kampung Melayu dan berhenti di empangan Sungai Chini. Disini operator bot sedia menunggu kedatangan pelawat. Pelawat tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kenderaan mereka kerana ia dijaga oleh komuniti operator bot pelancong ini. Daripada Sungai ini hingga ke Tasek Chini mengambil masa lebih kurang 15 hingga 20 minit sahaja

Tasik yang penuh dengan lagenda ini sungguh menarik. Ia adalah segugusan tasek yang dipanggil laut. Setiap tasek ada nama tersendiri. Pada musim tertentu, permukaan tasek ini dipenuhi oleh tumbuhan air yang dinamakan teratai, yang apabila berbunga, sungguh indah sekali menutupi permukaan air.
Bunga teratai ini sentiasa terapung dipermukaan air dengan akarnya tergantung didalam air.

Lihatlah betapa cantiknya kurniaan Ilahi untuk dinikmati oleh kita semua. Bahagian bawah kelopak bunga ini boleh dimakan. Bagaimana kepada semua pelawat, lebih elok tumbuhan ini tidak diganggu supaya semua pelawat yang lain juga boleh menikmati keindahannya.
Bagi kemudahan pelawat, beberapa kemudahan ada disediakan oleh pehak yang berkenaan seperti chalet, restoran, jeti dan perkhidmatan bot untuk menjelajah semua lautan yang ada di tasek ini. Pelawat juga boleh mendekati masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan sekitar tasik ini. Komuniti ini sentiasa bersedia mengalu-alukan kedatangan pelacong. Pelawat boleh berinteraksi dengan mereka secara langsung dan boleh mencuba belajar menyumpit, tracking dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.

Tasek Chini yang mempunyai gugusan cantuman beberapa buah tasik yang amat menarik dan sangat sesuai untuk dilawati.

Aktiviti memburu tidak sempurna jika tidak menggunakan alat yang dinamakan sumpitan. Pelawat boleh belajar dan mencuba kebolehan menggunakan alat sumpitan ini. Alatan ini juga sedia untuk dijual kepada pelawat. Pelawat juga boleh belajar membuat sumpitan ini daripada penduduk Orang Asli ini.
Adalah lebih seronok pergi ke Tasek Chini menggunakan laluan Sungai Chini bermula berhampiran kualanya di Sungai pahang. Sambil menikmati udara nyaman dan keredupan hutan tropika, boleh melihat spesis hidupan liar seperti biawak besar, monyet dan lain-lain.

Nyaman terasa,segala keributan kota dapat dilupakan bila berada disini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...